Saya telah diasuh
untuk mengambil wudhu sejak dari kecil lagi. Saya tinggal dan membesar di rumah
datuk. Mengingat kembali latihan dan amalan diajar oleh arwah datuk, seorang
peraih ikan dan juga merupakan guru al-Quran.
Seingat-ingat saya, datuk telah
mengajar saya untuk mengambil wudhu setiap kali datuk mandi apabila pulang dari
pasar pada waktu tengah hari.
Saya diajar satu
persatu berulangkali sehinggalah saya boleh melakukannya. Saya juga diajar
perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu.
Selepas solat zuhur, datuk akan mengajar murid-muridnya mengaji al-Quran. Datuk mempunyai ramai
murid yang telah menjadi orang yang berjaya antaranya adalah anak kepada arwah Osman Abadi, seorang pengarang terkenal.
Datuk pernah
berpesan pada saya supaya sentiasa berada dalam keadaan berwudhu.Datuk juga
memberitahu saya perkara-perkara yang boleh membatalkan wuduk. Jika tak ada
wudhu jangan sentuh al-Quran apalagi untuk mengangkatnya.
Apabila saya telah akil baligh, datuk juga sering
bertanya secara tiba-tiba kepada saya, adakah saya masih mempunyai wudhu dan seperti diuji saya
disuruh mengambil naskah al-Quran kepadanya. Cara ini telah
melatih saya untuk berterus-terang dan sentiasa memperbaharui wudhu dari semasa
ke semasa.
Saya disaran untuk
sentiasa berada dalam keadaan berwudhu, bukan saya saja malah boleh dikatakan
ianya telah menjadi amalan keluarga kami. Arwah bonda saya juga merupakan
seorang guru Al-Quran.
Kini setelah saya bekeluarga,
amalan ini terus diamalkan dan kesibukan harian tidak menghalang untuk saya
cuba bertahan selama mungkin untuk berada dalam keadaan berwuduk.
Pesan datuk, Rasulullah
SAW suruh kita ada air sembahyang sentiasa. Kalau kita mati dalam keadaan mempunyai wudhu, kita akan
diberi pahala seperti mati syahid.
Selepas pemergian
datuk dan apabila berjumpa dan bercakap dengan kawan arwah datuk, mereka
mengatakan, itu adalah amalan orang Islam dan datuk adalah bangsa Bugis yang menjadikannya
amalan hidup.
Orang Bugis akan mengajar anak cucu mereka supaya pandai berwudhu terlebih dahulu sebelum pergi mengaji dan belajar solat.
Rupanya amalan dan
ajaran datuk terlalu besar hikmahnya. Ini kerana jika kita sentiasa berada dalam wudhu, kita
lebih mudah untuk mendirikan solat sunat seperti solat dhuha, membaca dan
memegang Al Quran dan seterusnya lebih mudah untuk kita ingat Allah SWT.
Kita juga akan
lebih menjaga diri, mengelak diri daripada bersentuh kulit dengan orang yang
diharamkan atau tersentuh najis. Kita terpelihara daripada melakukan dosa-dosa
sebab kita sedar kita dalam keadaan wudhu.
Kalau kita memang
berniat untuk sentiasa memelihara wudhu kita, biasanya kita juga akan menjaga
pemakanan kita, sebab bimbang jika tersalah makan, wudhu akan terbatal.
Dengan berwudhu membuatkan kita akan
sentiasa berada dalam keadaan suci, suci hati, suci penglihatan dan suci diri.
Semoga amalan datuk ini terus diamalkan dan menjadi amalan anak-anak cucu
selamanya.
Semoga anak-anak Bugis akan meneruskan amalan mulia ini dengan niat
yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.
No comments:
Post a Comment