Friday, September 14, 2012

PANTANG-LARANG DALAM MASYARAKAT BUGIS

Pemmali merupakan istilah pantang-larang dalam masyarakat Bugis yang digunakan untuk menyatakan pantang-larang kepada seseorang yang melakukan dan mengatakan sesuatu yang tidak sesuai.

Pantang-larang sering menjadi pegangan leluhur masyarakat Bugis sebagai gelangan pendidikan tidak formal untuk membentuk budi pekerti.

Sebenarnya kata-kata Pemmali / Pantang-larang, berasal dari bahasa Arab yaitu Fiil Madi. Fiil Madi dalam bahasa Arab diertikan perbuatan/Sesuatu yang telah terjadi di masa lampau. Oleh karena itu Pantang-larang dapat diinterpretasikan perbuatan/perkataan yang telah dilakukan oleh orang tua dulu yang mendatangkan kesan sehingga terjadinya sesuatu secara kebetulan atau disengaja.

Pantang-larang dalam masyarakat Bugis dapat dilihat dalam dua elemen, iaitu pantang-larang dalam bentuk perkataan dan pantang-larang dalam bentuk perbuatan untuk sama-sama direnungi dan dinilai semula agar kita generasi baru tidak terpesong dengan akidah Islam.

Beberapa contoh pantang-larang dan maknanya.



(1) Pantang bagi seorang gadis menyanyi di dapur apabila sedang memasak atau menyiapkan makanan.

Masyarakat Bugis menjadikan pantang menyanyi pada saat sedang memasak. Akibat daripada ketidakpatuhan ini dikatakan bahawa mereka akan mendapat suami yang tua. Namun demikian dari segi ilmiah tidak terdapat hubungan antara menyanyi di dapur dengan mendapat jodoh. Kerana Jodoh itu di tentukan oleh Allah SWT. Namun demikian, pantang-larang di atas sebenarnya memiliki hubungan dengan masalah kebersihan dan kesihatan. Menyanyi di dapur dapat mengakibatkan keluarnya tampias ludah daripada mulut yang kemudian terpercik ke makanan.

(2) Gadis tidak boleh tidur sampai tengah hari sebab rezeki tidak menyinggah di rumah.

Selain itu leluhur kita mengatakan mereka yang lambat bangun akan mendapat jodoh yang lambat. Sebenarnya seorang gadis tidak baik bangun tengahari kerana ia merupakan cerminan daripada sikap malas dan boleh membantutkan kerja di dalam rumah. Hal ini perlu diperhatikan kerana masyarakat Bugis menganggap bahawa perempuan adalah pemegang kunci kepada pendidikan anak-anak dan urusan dalam rumah. JIka dikaitkan dengan lambat terima jodoh kerana lelaki tidak akan mahu berkahwin dengan wanita yang lambat bangun sebab khuatir mereka akan mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri dlam rumahtangga. Dari segi kesihatan pula lambat bangun akan menyebabkan badan menjadi lemah.

(3) Pantang orang tidur pagi jika jenazah jiran kita belum diusung ke tanah perkuburan.

Masyarakat Bugis dilarang tidur pagi sekiranya terdapat jiran yang meninggal dunia. Sebenarnya falsafah daripada larangan ini adalah sebagai satu simbol menghormati jenazah dan sebagai satu cara kita turut bersimpati dengan jiran. Pantang-larang ini menggambarkan betapa tingginya penghargaan masyarakat Bugis terhadap sesama manusia.

(4) Pantang bertongkat dagu sebab akan membawa sial.


Bertongkat dagu dikatakan akan membawa sial. Namun demikian makna falsafah daripada larangan ini adalah menunjukkan sikap seseorang yang pemalas. Perilaku bertongkat daku seolah-olah sesorang itu hanya berangan-angan tetapi tidak ada melakukan tindakan. Perilaku ini tidak ada hasil yang boleh didapatkan karena tidak ada pekerjaan yang dilakukan. Mereka biasanya hanya hidup menderita. Oleh itu perbuatan ini dianggap sial kerana tidak mampu melakukan pekerjaan yang mendatangkan hasil untuk memenuhi keperluan hidupnya

(5) Pantang-larang anak-anak berbaring bertiarap sebab menyumpah ibunya mati cepat.

Bagi kanak-kanak yang suka bertiarap mereka pastinya akan ditegur kerana dikatakan ingin menyumpah ibunya agar mati cepat. Sebenarnya ancaman ini mencerminkan bahawa masyarakat Bugis sangat menghormati orangtuanya sehingga larangan itu dikaitkan dengan kematian ibu. Jika kita lihat dari sudut kesihatan berbaring tiarap boleh mengakibatkan sakit di dada atau sakit perut. Pantang-larang ini berfungsi mendidik anak untuk menjadi orang memegang teguh etika, memahami sopan santun, dan menjaga budaya leluhur. Anak merupakan generasi yang harus dididik agar membesar menjadi insan berguna dan tidak memalukan keluarga.

(6) Pantang-larang bagi remaja lelaki menggunakan penutup/tudung sebagai alat makan sebab ia akan dijadikan penutup malu.

Lelaki yang menggunakan penutup benda tertentu seperti tudung periuk sebagai alat makan mengantikan piring dikatakan akan menjadi orang yang menjadi kambinghitam terhadap sesuatu masalah yang memalukan. Contoh menjadi kambing hitam penutup malu dengan menikahi gadis yang hamil di luar nikah akibat perbuatan orang lain. Meskipun bukan dia yang menghamilkan, namun dia yang ditunjuk untuk mengawini atau bertanggungjawab. Sebenarnya ancaman itu disebabkan menggunakan penutup sebagai alat makan tidak sesuai dengan adat etika ketika makan. Penutup bukan alat makan. Orang yang makan dengan penutup merupakan orang yang tidak tahu etika dan adab sopan santun semasa makan.

(7) Pantang-larang meninggalkan makanan atau minuman yang sudah dihidangkan karena biasa terkena bencana.

Pantang-larang ini memuat ajaran untuk tidak meninggalkan makanan atau minuman yang telah dihidangkan. Meninggalkan makanan atau minuman yang sengaja dibuatkan tanpa menmakannya adalah pembaziran. Makanan bagi masyarakat Bugis merupakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT. Orang yang meninggalkan makanan atau minuman tanpa merasanya merupakan wujud penolakan terhadap rezeki. Selain itu, menikmati makanan atau minuman yang dihidangkan tuan rumah merupakan bentuk penghoramatan seorang tamu terhadap tuan rumah. Sekiranya makanan dan minuman yang dihidangkan tidak dijamu atau dirasa maka ia boleh menyinggung pihak tuan rumah.

Seharusnya kita generasi baru yang diberikan ilmu harus mencari makna falsafah disebalik larangan yang diwarisi oleh leluhur kita serta menerangkan larangan itu kepada masyarakat secara hikmah . Kita jangan terus melatah dan mengata bahawa larangan tersebut tidak sesuai sebaliknya kita juga jangan terlalu mengikut secara membuta tuli. Marilah kita sama-sama menjaga budaya bangsa bangsa kita selagi ianya tidak bertentangan dengan agama.

1 comment: