Dipetik dari Utusan Online
Wakil Indonesia, Narwin Annas (tiga dari kiri) melihat pameran kapal bugis bersama Dr. Ahmad Nazri Muhammad Ludin (dua kiri) di Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.
JOHOR BAHRU 13 Dis 2011 - Biarpun Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terkenal dengan aktiviti berbentuk mekanikal dan teknologi, ia sedikit pun tidak meminggirkan kajian lain mengenai sejarah dan adat budaya.
Ini terbukti dengan penganjuran Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis oleh Pusat Kajian Alam Melayu (Kalam) di pusat pengajian tinggi itu baru-baru ini.
Sebanyak 24 kertas kerja dibentangkan sepanjang tiga hari program yang melibatkan 150 peserta terdiri daripada penuntut, ilmuan dan pakar sejarah.
Pengarahnya, Dr. Raja Nafidah Raja Shahminan berkata, konvensyen yang pertama kali diadakan itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu sejarah, kebudayaan dan senibina.
"Kita membincangkan persoalan tentang etnik Bugis supaya sejarah, budaya dan senibina dapat dikongsi bersama dan tidak kekal sebagai hikayat serta cerita sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Dekan Fakulti Alam Bina, Prof. Madya Dr. Ahmad Nazri Muhammad Ludin.
Menurutnya, sebelum ini Kalam telah membuat kajian mengenai senibina rumah masyarakat Bugis di Makasar, Sulawesi untuk dibandingkan dengan rumah Bugis yang terdapat di Pontian.
Menerusi kajian itu mereka melukis semula reka bentuk 30 buah rumah Bugis yang terdapat di Makasar dengan kerjasama Universiti Hasanuddin sejak dua tahun lalu.
"Hasil kajian mendapati hanya tiga buah rumah Bugis di daerah Pontian yang mirip dengan rumah Bugis yang terdapat di Sulawesi dan selebihnya berbentuk rumah Limas," katanya.
No comments:
Post a Comment