Monday, September 17, 2012
Iya Ada Iya Gau
Arwah datuk pernah berpesan pada aku, lantas aku mengangguk dan berkata; “Ya”, dengan apa yang pekerjaan yang disuruh oleh datuk untuk dilakukan. Balas datuk; “Jangan iya-iya saja, ya mesti yang ada titik”. Dengan katanya; “Iya ada titik, huruf YA yang mempunyai dua titik di bawah”. Atau dalam pengertian maksudnya; apa yang dicakap mesti dibuat.
“Iya ada titik”. Manakala dalam bahasa Bugis pula telah menjadi prinsip; “Iya ada iya gau”, dengan mengambil tujuan penyebutan yang sama. Prinsip inilah yang tertanam dalam diri saya, saya tidak akan mengiyakan apa yang saya tidak mampu lakukan. Apa yang diucap mesti dibuktikan, dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada perkara yang besar dan memerlukan pergorbanan.
Bugis adalah bangsa yang berani sehingga disebut Bugis bangsa pemberani dan harga diri seorang Bugis terhadap agama, bangsa dan negaranya ialah sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Bugis rela berputih tulang dan tidak sesekali untuk berputih mata. Maka, bagi Bugis nyawa adalah taruhan dari membiarkan tanah air diinjak bangsa asing.
Namum keberanian Bugis mestilah dengan cukup ‘empat tapang’ iaitu dengan keperibadian yang mantap dan dapat diteladani; benar, amanah, cerdas dan pintar. Anak-anak Bugis mempunyai ilmu persilatan dan nelayan pesisiran dan tidak mabuk dengan kucah ombak lautan.
Arwah datuk, sebelum menjadi peraih ikan adalah nelayan. Kami dapat makan ikan-ikan dan hasilan segar dari laut. Dan makanan Bugis yang disediakan telah dibuat untuk tahan lama sesuai dengan cara hidup Bugis.
Arwah datuk adalah guru Al-Quran, dan pesan datuk juga; fikir itu adalah pelita. Walau sekuat mana pun kita tetap adalagi orang yang lebih kuat.
Keberanian Bugis penuh kompromi dalam tindakan dan amat malang bagi yang menuduh Bugis adalah lanun kerana mana mungkin bangsa yang terdidik dengan agama Islam yang menyakini keEsaan Allah SWT untuk membuat kerja-kerja bacul. Rahsianya; ialah lanun sendiri kecundang dalam cubaan-cubaan untuk menyerang kapal dagangan Bugis.
Namun Bugis tidak sebegitu mudah untuk menamatkan nyawa lanun yang menyerang ini. Atas dasar kemanusiaan lanun-lanun ini dilepaskan dengan janji untuk tidak sesekali menyerang mana-mana kapal Bugis.
Memang menjadi kebiasaan penjahat yang kalah akan menunding jari kepada orang yang baik bagi melindungi keburukan mereka. Lanun-lanun inilah sememangnya petualang dan menjadi penunjuk arah pemberi jalan kepada bangsa penjajah yang datang ke rantau nusantara untuk tujuan mereka.
Datuk juga menyatakan bahawa kapal Bugis sering berulang-alik ke tanah suci Mekah dan membawa Bugis yang akan mengerjakan haji. Perjalanan laut yang jauh dan memakan masa berbulan-bulan dengan laut berangin, tenang diselangi ribut, badai dan gelora di samudera adalah mainan harian, kerja harian selain menangkap ikan untuk makan, mereka juga melakukan latihan persilatan di atas kapal, dalam ruang yang terhad dan disebelah petang membaiki alatan memancing, dan malam pula mereka akan beribadat, bertadarus, berzanji serta ‘menadah kitab’ mempelajari ilmu agama. Bergilir-gilir berjaga malam sepanjang menempuh gelora dan keselamatan dalam perjalanan.
Pe-el perangai orang Bugis ini dibentuk melalui kerjasama dalam melakukan pekerjaan dan perkongsian makanan selama berada di atas kapal menuju destinasi. Berpandu arah tuju dengan melihat bintang di langit serta keilmuan maritim yang mereka ada. Antara kehebatan orang Bugis ialah berzikir senyap tanpa didengari seiring dengan pekerjaan yang sedang dibuat. Bangsa Bugis mengharungi lautan dengan pengalaman dan cabaran merupakan pendidikan amali yang sebenar-benarnya.
Didikan adab Bugis telahpun disemai seawal usia, mengaji, solat berjemaah, bersilat dan anak-anak Bugis terdedah dengan kerja-kerja berat di kampung dan bergotong-royong. Semua ini akan membentuk sahsiah Bugis. Apabila meningkat remaja mereka akan diminta untuk segera ke tanah suci dan menunaikan haji pada usia muda dengan menaiki kapal dan disinilah ilmu untuk menjadikan seorang Bugis bangsa yang mempunyai ‘empat tapang’.
Makanya; apabila seorang Bugis bertegas dan tetaplah mereka akan perbuat. Bukanlah seorang itu Bugis jika hanya sekadar sembang sahaja. Dan diam Bugis itu umpama ubi, makin lama makin berisi. Bagi Bugis, lautan dalam sememangnya diduga kerana kailnya bukan sejengkal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment