Beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari
Raya Aidil Adha. Umat Islam dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia akan
menunaikan ibadah Haji. Ibadah Haji adalah rukun yang kelima, pelengkap kepada
kesempurnaan rukun Islam. Kepada Allah kita panjatkan doa semoga seluruh jemaah
haji akan mendapat haji yang mabrur.
Ibadah Haji mengajar umat Islam
tentang erti kesungguhan, pengorbanan, keinsafan dan kesabaran yang tinggi.
Kenapa dikatakan begitu? Setiap jemaah Haji perlu menyediakan wang secukupnya
untuk tujuan ini. Mana tidaknya, ada di kalangan jemaah Haji terdidik erti
tidak mengenal erti putus asa menyimpan RM10 sebulan secara berterusan sehingga
30 tahun bagi mencukupkan simpanan haji mereka.
Golongan ini sangat bersemangat dan
mempunyai keinginan yang tinggi bagi menunaikan Rukun Islam Ke-5 ini. Walaupun
menyedari mereka terpaksa mendisiplinkan diri bersabar selama puluhan tahun
untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, namun mereka tetap meneruskan juga
simpanan. Cerita komitmen jemaah haji sebegini sepatutnya mampu memberi motivasi
dan kekuatan kepada umat Islam yang lain untuk membuat tabungan khusus bagi
mereaslisasikan ibadat ini.
Sebagai keturunan Bugis, berikan
tumpuan untuk mencari rezeki yang halal, berdoa, berusaha dan bertawakal dan
istiqamah menabung bagi memastikan hasrat untuk menyempurnakan haji tercapai
pada kadar segera. Tunjukkan komitmen pada diri kita dengan membuka akaun
tabung haji dan pastikan seluruh keluarga, sanak saudara kita mempunyai akaun
Tabung Haji.
Sedarlah dan sedarkanlah anak-anak
Bugis agar seawal usia amalkan menabung kerana hasrat yang mulia ini ada juga
jemaah haji yang menjual tanah, haiwan ternakan dan barang kemas demi
mencukupkan tabungan haji.
Ini menunjukkan mereka bertekad
untuk ke Tanah Suci. Namun, jika dibandingkan dengan sebahagian besar umat
Islam hari ini yang mungkin bergaji lebih RM10,000 sebulan tetapi masih lagi
tidak berhajat ke Mekah, mungkin perlu menilai kembali kelemahan ini kerana
bangsa Bugis tidak pernah berlengah dalam hal agama. Jangan sesekali merasakan
ibadah haji hanya untuk mereka yang sudah pencen atau meniti hari tua.
Sedangkan hakikatnya, ibadah haji memerlukan banyak tenaga kerana sebahagian
besar ibadah adalah bersifat fizikal seperti tawaf, saei dan melontar jamrah. Maka,
lebih baik kita semua menunaikan ibadah haji pada usia muda dan sememangnya
itulah tradisi Bugis sejak zaman berzaman.
Kalau dulu bangsa Bugis dapat pergi menunaikan
haji dengan belayar dan dalam masa yang sama menuntut ilmu agama, persilatan serta
cabaran gelombang di atas kapal sepanjang pelayaran menuju Tanah Suci, kini
zaman telah berubah dan bangsa Bugis harus sentiasa mengungguli diri agar orang-orang
Bugis dapat menunaikan haji pada usia muda ini akan berterusan selamanya.
Dalam cabaran dunia masa kini dan sebagai
bangsa yang tahan diuji, Bugis perlu membuktikan kehebatan mereka untuk menjadi
bangsa Melayu yang hebat serta sentiasa berada dihadapan untuk menjadi bangsa teladan.
Anak-anak Bugis tidak suka bersembang
kosong dengan menghabiskan nilai duit di telefon tetapi bijak menyusun atur
perbelanjaan. Ingatlah wahai anak-anak Bugis. Buktikan kehebatan kamu.
Dengan mekanisma penyimpanan yang
mudah dan tersedia ini, amalan menyimpan perlu disemarakkan di kalangan
kanak-kanak sejak zaman persekolahan dan generasi muda serta memastikan mampu
mempunyai tabungan yang mencukupi dan boleh mengerjakan haji pada usia muda.
Bagaimana hendak menanam minat
terhadap kanak-kanak? Ia boleh dilakukan dengan ibu bapa mengajar anak-anak
menyimpan mungkin bermula sebanyak RM10 saja setiap bulan dan jumlah ini boleh
ditambah dari semasa ke semasa. Di samping dapat mengajar anak-anak menyimpan
pada usia muda, mereka juga boleh belajar berjimat cermat dan bijak menguruskan
kewangan mereka sendiri secara berhemah dan sistematik.
Cuba bayangkan anak-anak Bugis yang
masih di bangku sekolah sudah bergelar Haji. Tentu menarik bukan. Selain
membuka akaun di Tabung Haji, Manusia hanya mampu merancang tetapi Allah yang
menentukan kerana ada empat (4) perkara yang Allah tidak beritahu kepada kita
yang bernama manusia iaitu rezeki, jodoh, musibah dan ajal.
Selangkah kita bermula hari ini,
bererti pada suatu ketika kita akan berada seribu langkah ke hadapan sebelum
orang lain memulakannya. Jangan berlengah lagi, buka akaun Tabung Haji anda dan
keluarga anda sekarang.
No comments:
Post a Comment