Friday, September 21, 2012

Setiu Pahlawan Bugis

Setiu adalah sebuah Daerah di Negeri Terengganu, Malaysia ia dikatakan berasal daripada nama seorang pahlawan Bugis. Peperangan antara Belanda dengan Bugis telah berlaku dalam tahun-tahun 1770an. Dalam peperangan tersebut pihak Belanda telah mendapat kemenangan.

Dengan kekalahan Bugis ini menyebabkan ramai orang-orang Bugis lari meninggalkan negeri mereka. Antara orang-orang Bugis tersebut termasuklah Tok Setiu. Tok Setiu merupakan seorang Panglima Raja Bugis.

Antara faktor yang menyebabkan beliau lari selain daripada kalah berperang ialah kerana beliau tidak mahu hidup bertuankan Belanda.



Setelah beberapa lama belayar Tok Setiu dan orang-orangnya pun tiba di Terengganu. Negeri Terengganu pada masa itu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad II iaitu Sultan Terengganu yang ke X (1875 hingga 1881).

Apabila Tok Setiu mendarat ke Terengganu, beliau pun menemui baginda Sultan Ahmad untuk memohon menumpang tinggal di Terengganu, beliau menceritakan perihal kedatangannya dan segala pahit maung semasa dalam pelayaran.

Baginda Sultan Ahmad II telah bersetuju dan perkenankan permohonan Tok Setiu dan orang-orangnya. Lalu Baginda titahkan kepada Tok Setiu supaya mencari tempat yang sesuai untuk dibuat perkampungan. Setelah meninjau kawasan-kaeasan di Negeri Terengganu, beliau telah memilih sebuah tempat dan dinamakan Kampung Bukit Tok Setiu.

Disinilah tempat Tok Setiu dan orang-orangnya berkampung dan menjalankan kerja-kerja harian mereka. Pada peringkat awal pendudukan Tok Setiu di Kampung Bukit Setiu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Kampung. Dalam pada inilah Tok Setiu mendapat tentangan daripada Tok Itam dan orang-orangnya kerana berebut satu kawasan.

Oleh kerana tidak mendapat kata sepakat dan tolak ansur antara mereka berdua, lalu berlakulah peperangan yang amat hebat selama 7 hari 7 malam. Dalam peperangan tersebut pihak Tok Setiu hampir menerima kekalahan.

Memandangkan hal yang demikianlah Tok Setiu memohon bantuan daripada Tok Serban Kuning dari Mukim Batu Bertindan, Bukit Mahsuri. Dengan bantuan yang diberikan oleh Tok Serban Kuning maka pihak Tok Itam telah mengalami kekalahan.

Kemenangan Tok Setiu telah mengukuhkan lagi kedudukanya sebagai Ketua di Kampungnya dan menyebabkan pengaruh beliau semakin kuat dan pengikutnya bertambah ramai.

Kekalahan Tok Itam telah menyebabkan anak buahnya menyimpan dendam dan mereka telah membuat batas sempadan dengan menanam suatu azimat. Tujuannya adalah untuk mencegah daripada kemasukan binatang-binatang daripada kampung lain.

Ini jelas terbukti apabila seseorang yang hendak membawa masuk kerbau dan lembu dengan tujuan untuk membelanya ataupun kenduri kendara, binatang itu apabila melangkah saja ke garis sempadan tersebut terus mati. Peristiwa ini telah berlaku berulang-ulang kali.

Semasa pemerintahan Tok Setiu, beliau telah meninggalkan banyak jasa antaranya membuat tandak-tandak sungai adalah bertujuan untuk memudahkan pengaliran air dari sungai ke sawah-sawah. Pekerjaan penduduk-penduduk pada masa itu hinggalah sekarang ialah bertanam padi dan menoreh getah.

Selain daripada bertugas sebagai Ketua Kampung, Tok Setiu juga berperanan sebagai guru silat dimana ramai penduduk-penduduknya yang belajar dengannya. Dikatakan bahawa persilatan menjadi pokok utama dalam kehidupan penduduk kampung Bukit Tok Setiu ialah kerana adanya satu temasya pertandingan silat. Temasya ini telah diadakan pada setiap tahun.

Tok Setiu meninggal dunia setelah bertikam dengan adiknya disebabkan oleh fitnah dan dikuburkan berhampiran dengan rumahnya yang terletak di bawah sepohon Berangan. Pokok Berangan telah ditebang manakala batu nisan tidak dapat dikesan.

Kawasan perkampungan Tok Setiu sekarang telah dipenuhi dengan pokok-pokok getah dan semak samun. Kemasyuran nama Tok Setiu telah mendorong kepada penduduk-penduduk kamping menamakan tempat itu sebagai SETIU hinggalah sekarang menjadi satu Daerah.

Tok Setiu memainkan peranan yang besar dalam sejarah kehidupannya dan banyak jasa-jasa yang ditinggalkan oleh beliau. Hiburan seperti bersilat, Mak Yong, main gasing, berlaga kerbau turut diadakan di kampungnya.

No comments:

Post a Comment