Saturday, September 26, 2009

200 ahli keluarga Anok Branok Daik berhimpun


SEBAHAGIAN daripada ahli keluarga keturunan Bugis 'Anok Branok Daik' yang bermastautin dan di luar Terengganu berhimpun di Muzium Negeri Terengganu, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 24 Sept. - Personaliti terkenal TV3 kelahiran negeri ini, Ally Iskandar Mardzi turut tidak melepaskan peluang memeriahkan program perhimpunan keluarga 'Anok Branok Daik' sempena sambutan Aidilfitri di Muzium Negeri di sini semalam.

Lebih 200 ahli keluarga itu daripada susur galur keturunan Bugis berhimpun di situ sepanjang empat jam program itu berlangsung bermula pukul 2 petang.

Pengerusi Anok Branok Daik, Mardzi Mohd. Ali berkata, program itu merupakan kali kedua diadakan selepas tahun 2007 dan ia berjaya mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

Katanya, menerusi perhimpunan itu, kesemua yang hadir turut berkesempatan menjalin semula hubungan kekeluargaan walaupun kebanyakan ahli keluarga 'Anok Branok Daik' kini bermastautin di luar Terengganu.

"Pertemuan kali ini lebih mendapat sambutan menggalakkan berbanding program serupa pada dua tahun lalu," katanya yang juga bapa kepada Ally Iskandar ketika ditemui pada majlis itu.

Menurutnya, beliau yakin keluarga itu mempunyai keahlian yang lebih ramai dan usaha untuk menjejaki mereka masih dilakukan.

Mardzi menambah, keturunan keluarga itu berasal dari Kepulauan Ringga, salah sebuah pulau yang terbesar di Kepulauan Riau, Indonesia.

1 comment:

  1. Tahniah.. semoga dapat lagi melakukan pertemuan yg seperti inj selepas ini..#kitajagakita

    ReplyDelete