Thursday, February 6, 2020

SOLAT ISTIQARAH UNTUK MEMILIH CALON WAKIL RAKYAT TERBAIK


Tunaikan tanggungjawabnya untuk memilih calon terbaik.

Pada zaman sekarang pilihanraya adalah satu cara untuk memilih pemimpin, calon yang paling tinggi menerima undi akan memenangi pertandingan itu untuk dilantik sebagai wakil rakyat. Dalam hal ini, setelah melalui beberapa sesi kempen, penerangan dan ceramah anda telah mempunyai calon pilihan hati terbaik untuk diundi. Meskipun calon yang bakal dipilih itu anda suka, berada dalam kelompok lebih meyakinkan. Persoalannya adakah pilihan anda itu benar-benar tepat. Adakah diyakini bahawa calon tersebut melaksanakan tugasnya menunaikan janji-janjinya apabila memenangi pilihanraya? Apakah dia akan berada di landasan yang betul ataupun sekadar menggunakan platform pilihanraya untuk agenda peribadi atau semangat perjuangannya dilunturkan akibat hatinya yang berbolak-balik. Pengundi dan anda yang juga memberikan satu undi bagi menyumbang kemenangannya, pasti akan terkesan apabila perkara ini berlaku.

Siapakah yang  patut dipersalahkan sekiranya perkara ini berlaku? Justeru, anda mestilah calon yang paling baik di antara calon-calon yang baik tersebut dan tentunya apa-pun natijah kemenangannya tidak akan memberikan kebuntuan atas dasar anggapan.

Dalam pilihanraya terdapat pilihan calon yang adakalanya lebih daripada dua orang. Atas dasar wajaran untuk memilih calon manakah yang terbaik, sekufu dan menepati kesesuaian yang anda kehendaki, gunakan tempoh masa berkempen untuk menyempurnakan beberapa siri solat sunat istiqarah sebelum tiba hari mengundi.

Oleh itu bagi mengelak anda dilanda kebuntuan selepas itu buatlah solat istiqarah untuk mendapat keberkatan atas pilihan yang dibuat.

Maka dalam hal ini, solat Istiqarah adalah wajar dilakukan kerana ianya antara langkah dalam menentukan pilihan mana yang tepat.

Secara amnya, adalah sunnah dalam melakukan solat Istiqarah ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir radhiyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada solat yang fardhu (yakni mengerjakan solat dua rakaat dengan niat Istiqarah).

Kemudian hendaklah dia berdoa:

Ya Allah, aku beristiqarahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung.

Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi.

Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini.

Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.

(Hadith riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya)

Kesimpulan

Istiqarah merupakan suatu proses semulajadi. Jangan mengharapkan sesuatu yang luar biasa. Istiqarah hanya memastikan bahawa kita mendapat keberkatan daripada Allah, menyokong pilihan kita. Istiqarah itu tidak ujud bagi perbuatan Haram (contoh, meminum arak) atau perkara fardhu (contoh, solat isya’). Janganlah menyesali keputusan kita selepasnya, kerana ia bermaksud menyesali dan meragui petunjuk Allah. Walaupun keputusan kita mungkin membuahkan hasil seperti yang kita harapkan, ketahuilah bahawa itu adalah yang terbaik bagi kita dan di situ terdapat keberkatan padanya, meskipun kita tidak dapat melihatnya.

Sebagai muslim yang bijak atau muslim yang progresif di zaman yang moden ini kita seharusnya perlu mengelakkan diri kita daripada melakukan keputusan yang terburu-buru atau tergesa-gesa dengan tidak berfikiran panjang dalam melakukan keputusan terhadap apa-apa pilihan. Hargailah nikmat Istiqarah yang telah diwahyukan oleh Allah kepada Rasullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang telah mengajarkan kepada umatnya keisitimewaan Istiqarah ini.

Sesungguhnya, dengan mengaplikasikan cara ini dengan praktikal yang mengikut ajaran Rasullullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ianya dapat memberi manfaat kepada umat Islam dalam berpegang teguh kepada takdir qada' dan qadar Allah SWT.

Wallahu'alam.


No comments:

Post a Comment