Tengku Yusof Panglima (Kedai Payang)
Besut adalah sebuah daerah dalam Negeri Terengganu yang letaknya di bahagian utara bersempadankan Negeri Kelantan. Daerah ini adalah yang keempat besarnya antara enam daerah dalam negeri Terengganu, luasnya kira-kira 1978.76 km persegi manakala penduduknya dalam tahun 1970 lebih kurang 79,240 orang dan hampir 95% terdiri dari orang-orang Melayu.
Menurut cerita lisan orang-orang
tua, nama Besut adalah nama ketua seorang
pangan atau sakai. Sebelum itu, daerah
ini pernah diperintah oleh seorang ketua lanun yang bergelar; "Raja Sang Nyana".
Keadaan
kedudukan alam Besut
dengan pulau-pulau dipersekitaran
seperti Pulau Perhentian
dan pulau yang berhampiran dengan tepi pantainya iaitu Pulau Ru sememangnya amat sesuai menjadi sarang lanun.
Manakala
Bukit Keluang, yang
sebahagiannya di persisir pantai yang jauhnya lebih kurang 6.5 km daripada Kuala Besut. Gua-gua batu di situ amat sesuai menjadi tempat perlindungan lanun.
Kemudian,
sekumpulan pedagang dari Patani yang diketuai oleh Encik Wan, yang dikatakan berasal dari Sumatera iaitu datuk yang
keenam kepada Haji Yusof bin Ali (bekas imam Kampung Payang Setiu dan tinggal di Palembang,
Besut, meninggal
dunia pada 12 November 1974) dan Haji Muhammad (bekas imam Masjid Kampung Raja) telah
datang ke Besut.
Encik
Wan telah dapat
memujuk puak-puak pangan yang mendiami di situ di bawah ketuanya Pak Wong dengan segantang mata kail untuk
memujuk mereka berpindah dari tempat
kediamannya ke tempat lain. Berlakunya
perjumpaan dan rundingan itu di Kampung Nail (tempat membentuk mata
kail) serta dibuat perjanjian supaya tidak berlaku
pencerobohan dan pembunuhan oleh puak-puak pangan ke atas orang-orang Encik Wan semasa mencari isi hutan di
dalam Daerah Besut. Kemudian Encik
Wan serta orang-orangnya telah membuat kampung di tepi Sungai Besut yang diberi namanya Palembang.
Nama
itu diberi sempena nama negeri asalnya Palembang Sumatera. Selepas Encik Wan meninggal, anaknya Encik
Wan Namat telah mengambil-alih
menjadi ketua pula. Dalam masa Encik Namat menjadi ketua, ia pernah menerima tentangan
yang hebat daripada lanun yang berkubu di pulau-pulau di sekitar daerah Besut dan pernah ia meminta bantuan daripada
Sultan Mansur I untuk menghantar angkatan tentera bagi membasmikan lanun-lanun itu dan anak baginda sendiri yang bernama Tengku Abdul Kadir telah datang
mengetuai pasukan ini serta mendapat
kejayaan dan beliau telah dilantik menjadi pemerintah Besut, dan Encik Namat menjadi seorang pembesar daerah.
Dalam tahun 1780-an Tengku Abdul
Kadir telah berjaya mentadbirkan
Besut dan membina benteng-benteng
pertahanan sepanjang Sungai Besut yang herhampiran dengan Palembang dan membuat tempat kediamannya di kawasan Kampung
Raja. Selepas kematian Tengku Abdul
Kadir, puteranya bernama Tengku Ali telah mengambil-alih pemerintahan itu dan ianya enggan mematuhi pemerintahan Yang
Dipertuan di Kuala Terengganu. Akhirnya suatu peperangan telah meletus
antara pasukan dari Terengganu dengan pasukan Tengku Ali kira-kira pada 23
haribulan Syawal 1292H, (22.11.1875).
Adalah
diceritakan, terbitnya punca pemberontakan Tengku Ali, ialah kerana dasar baginda
(Sultan Umar) yang
memerintah daerah-daerah secara
langsung. Tengku Ali telah memerintah Besut selama 15 tahun dengan tiada
mempunyai perhubungan yang rapat dengan pihak istana
di Kuala Terengganu. Walaupun beliau anak sepupu baginda dan dilantik menjadi
Pemerintah Besut, tetapi beliau secara rahsia berusaha mendapat bantuan
dari Kelantan supaya dapat menurunkan baginda dari
takhtanya dan diganti dengan Tengku Cik Muda Putra, Yam Tuan Muda Tengku Abdullah (Saudara Baginda). Segala
persiapan telah diatur untuk melantik Tengku Ahmad anak saudara baginda
menjadi Yam Tuan Muda dan baginda menjemput Tengku Ali supaya menghadiri
istiadat itu, tetapi Tengku Ali enggan memperkenankan jemputan tersebut.
Apabila
baginda menghantar beberapa orang utusannya, di antaranya Tuan Muda, Tengku Ibrahim dan Orang Kaya
Megat Mahkota untuk
menjemputnya pula, didapati Tengku Ali sedang berkumpul di Kampung Raja dengan beberapa
pasukan yang bersenjata dari Kelantan.
Pihak
baginda telah mengutus surat bantahan kepada pemerintahan Siam di Senggora dan juga
bantahan serta amaran kepada pemerintahan
Kelantan supaya tidak mencampuri hal ehwal di Besut. Sultan Umar telah juga menghantar mufti Haji Wan Abdullah bin Muhammad
Amin ke Kelantan menyampai hasrat baginda tidak ada niat hendak mengubahkan sempadan antara Kelantan-Terengganu. Kemudian baginda pun menghantar suatu angkatan
perang ke Besut.
Seramai
8,000 orang mengikut laut dan darat diketuai oleh Panglima Besar Orang Kaya Megat Seri
Mahkota Raja (Wan Abdul Rahman bin Idris) saudara sepupu baginda, penolongnya Tengku Yusof
Panglima Kedai
Payang, Tengku Long bin Mustaffa, (Tengku Long Pendekar), dan Tengku Nik, manakala
panglima-panglima perang ialah Encik Musa, Datuk Bandar Jaafar, Tok Kaya Mahkota Haji Abdul Rahman,
Tun Setia Wan
Ismail Kampung Gedung.
Angkatan
ini khabarnya diatur dan disusun oleh Engku Saiyed Seri Perdana (Engku Saiyed
Zain bin Muhammad) yang dianggap sebagai Perdana Menteri baginda, dan telah membedil
Besut dari laut. Setelah
mereka mendarat, Tengku Ali telahpun melarikan diri ke Kelantan. Maka tidaklah jadi pertempuran.
Kemudian
pemerintahan Besut diwakilkan kepada Tengku Ngah, kemudian kepada Tengku Chik Haji anak Tengku
Abdul Kadir. Di dalam masa pemerintahan Tengku Cik Haji, daerah Besut telah mulai
menghadapi zaman perubahan dan beransur-ansur maju.
Tengku Ali mangkat di Kelantan pada 11 Zulkaedah 1292H bersamaan 9.12.1875.
Tengku Ali mangkat di Kelantan pada 11 Zulkaedah 1292H bersamaan 9.12.1875.
Disesuaikan daripada:
Sejarah Darul Iman Hingga 1337H (1918M)
No comments:
Post a Comment