Friday, September 28, 2012

Sentiasa Dalam Keadaan Berwudhu Amalan Bugis



Saya telah diasuh untuk mengambil wudhu sejak dari kecil lagi. Saya tinggal dan membesar di rumah datuk. Mengingat kembali latihan dan amalan diajar oleh arwah datuk, seorang peraih ikan dan juga merupakan guru al-Quran.

Seingat-ingat saya, datuk telah mengajar saya untuk mengambil wudhu setiap kali datuk mandi apabila pulang dari pasar pada waktu tengah hari.

Saya diajar satu persatu berulangkali sehinggalah saya boleh melakukannya. Saya juga diajar perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu.

Sunday, September 23, 2012

ASAL USUL NASI DAGANG TERSIMPAN RAHSIA BURASAK



Sehingga hari ini, ramai yang tidak tahu siapakah yang mula membuat nasi dagang. Sebut sahaja nasi dagang, hanya ramai yang tahu ianya berasal dari Negeri Terengganu, sebuah negeri yang berada di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

Mengikut seorang tua yang saya temui, nasi dagang pada mulanya tidak dibuat oleh orang tempatan negeri Terengganu tetapi ianya dibuat oleh orang Bugis yang datang berdagang. Nasi dagang mulanya dibuat secara tidak sengaja oleh orang Bugis yang berada di Terengganu.

Friday, September 21, 2012

Setiu Pahlawan Bugis

Setiu adalah sebuah Daerah di Negeri Terengganu, Malaysia ia dikatakan berasal daripada nama seorang pahlawan Bugis. Peperangan antara Belanda dengan Bugis telah berlaku dalam tahun-tahun 1770an. Dalam peperangan tersebut pihak Belanda telah mendapat kemenangan.

Dengan kekalahan Bugis ini menyebabkan ramai orang-orang Bugis lari meninggalkan negeri mereka. Antara orang-orang Bugis tersebut termasuklah Tok Setiu. Tok Setiu merupakan seorang Panglima Raja Bugis.

Antara faktor yang menyebabkan beliau lari selain daripada kalah berperang ialah kerana beliau tidak mahu hidup bertuankan Belanda.

Anak Bugis Tidak Merokok


Sebagai anak Bugis, jika anda tidak merokok atau baru memulakannya tetapi belum ketagih merokok, kekalkan sifat itu. Anak Bugis perlu memastikan agar diri kita tidak terjebak untuk mengamalkan tabiat merokok. Seandainya, jika sudah terlibat, maka ianya belum terlambat. Sebagai bangsa Bugis, sememangnya mempunyai keazaman yang tinggi. Buktikan, inilah masanya untuk tunjukkan keupayaan kita sebagai anak Bugis, sememangnya bangsa Bugis mampu meninggalkan tabiat buruk ini.

Duit yang bazirkan itu harus dibelanjakan ke jalan yang mempunyai manfaat. Setiap sen yang dibelanjakan mestilah kearah yang mendapat redha Allah jua.

Ingat!! Merokok adalah tabiat yang merbahaya. Jika anda tidak merokok, jangan mulakan kerana dalam jangka masa panjang, ia bolehmenyebabkan pelbagai jenis penyakit.
Mengapa tidak merokok atau berhenti merokok itu penting?
• Merokok merbahaya tidak kira sama ada anda sendiri yang merokok atau menyedut asap rokok daripada perokok lain.
• Kajian menunjukkan :
o Berhenti merokok dalam tempoh 3 hingga 5 tahun, mengurangkan risiko
mendapat kanser mulut sebanyak 50%.
o Tiada risiko mendapat kanser mulut jika berhenti merokok melebihi 10 tahun.
• Bila tabiat merokok ini dihentikan, keadaan penyakit gusi (periodontium) juga akan bertambah baik atau pulih.
Apa keburukan merokok?
Merokok boleh mendatangkan pelbagai masalah gigi, antaranya :
• Gigi berkarat (staining).
• Nafas berbau (halitosis).
• Penyakit gusi (penyakit periodontium).
• Kanser mulut.
Ia juga dikaitkan dengan masalah perubatan seperti :
• Kanser paru-paru.
• Tekanan darah tinggi.
• Strok.
• Penyakit jantung.
• Mati pucuk.
 

Perhatian
 

Walaupun penggunaan bahan kumuran dan ubat gigi mungkin berkesan menanggalkan karat gigi dan menyegarkan bau nafas perokok, ianya tidak boleh menyembuh kerosakan atau penyakit yang disebabkan oleh asap rokok.
Apa yang anda perlu lakukan sekiranya anda seorang perokok?
Anda perlu membuang tabiat merokok. Pastikan anda :
• Melakukan pemeriksaan mulut sendiri.
• Dapatkan pemeriksaan pergigian berkala di klinik pergigian.
Petua berhenti merokok
Bukan senang untuk membuang ketagihan merokok. Anda memerlukan kekuatan mental untuk membuang tabiat ini.
Beberapa petua untuk berhenti merokok :
• Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok dan buatkan nota peringatan.
• Bersikap yakin, selalu berfikiran positif dan beritahu diri anda yang "anda boleh
membuang tabiat merokok".
• Dapatkan sokongan.
• Atasi keinginan/ gian untuk merokok dengan :
o mengunyah gula-gula getah yang tidak mengandungi gula (chewing gum)
o lakukan senaman
o mandi dengan lebih kerap
• Gunakan terapi gantian nikotin (nicotine replacement therapy).

Thursday, September 20, 2012

Bugis Menunaikan Haji Pada Awal Usia


Beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidil Adha. Umat Islam dari seluruh dunia termasuk dari Malaysia akan menunaikan ibadah Haji. Ibadah Haji adalah rukun yang kelima, pelengkap kepada kesempurnaan rukun Islam. Kepada Allah kita panjatkan doa semoga seluruh jemaah haji akan mendapat haji yang mabrur.

Ibadah Haji mengajar umat Islam tentang erti kesungguhan, pengorbanan, keinsafan dan kesabaran yang tinggi. Kenapa dikatakan begitu? Setiap jemaah Haji perlu menyediakan wang secukupnya untuk tujuan ini. Mana tidaknya, ada di kalangan jemaah Haji terdidik erti tidak mengenal erti putus asa menyimpan RM10 sebulan secara berterusan sehingga 30 tahun bagi mencukupkan simpanan haji mereka.

Golongan ini sangat bersemangat dan mempunyai keinginan yang tinggi bagi menunaikan Rukun Islam Ke-5 ini. Walaupun menyedari mereka terpaksa mendisiplinkan diri bersabar selama puluhan tahun untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, namun mereka tetap meneruskan juga simpanan. Cerita komitmen jemaah haji sebegini sepatutnya mampu memberi motivasi dan kekuatan kepada umat Islam yang lain untuk membuat tabungan khusus bagi mereaslisasikan ibadat ini.

Monday, September 17, 2012

Iya Ada Iya Gau



Arwah datuk pernah berpesan pada aku, lantas aku mengangguk dan berkata; “Ya”, dengan apa yang pekerjaan yang disuruh oleh datuk untuk dilakukan. Balas datuk; “Jangan iya-iya saja, ya mesti yang ada titik”. Dengan katanya; “Iya ada titik, huruf YA yang mempunyai dua titik di bawah”. Atau dalam pengertian maksudnya; apa yang dicakap mesti dibuat.

“Iya ada titik”. Manakala dalam bahasa Bugis pula telah menjadi prinsip; “Iya ada iya gau”, dengan mengambil tujuan penyebutan yang sama. Prinsip inilah yang tertanam dalam diri saya, saya tidak akan mengiyakan apa yang saya tidak mampu lakukan. Apa yang diucap mesti dibuktikan, dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada perkara yang besar dan memerlukan pergorbanan.

Bugis adalah bangsa yang berani sehingga disebut Bugis bangsa pemberani dan harga diri seorang Bugis terhadap agama, bangsa dan negaranya ialah sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Bugis rela berputih tulang dan tidak sesekali untuk berputih mata. Maka, bagi Bugis nyawa adalah taruhan dari membiarkan tanah air diinjak bangsa asing.

Namum keberanian Bugis mestilah dengan cukup ‘empat tapang’ iaitu dengan keperibadian yang mantap dan dapat diteladani; benar, amanah, cerdas dan pintar. Anak-anak Bugis mempunyai ilmu persilatan dan nelayan pesisiran dan tidak mabuk dengan kucah ombak lautan.

Arwah datuk, sebelum menjadi peraih ikan adalah nelayan. Kami dapat makan ikan-ikan dan hasilan segar dari laut. Dan makanan Bugis yang disediakan telah dibuat untuk tahan lama sesuai dengan cara hidup Bugis.

Arwah datuk adalah guru Al-Quran, dan pesan datuk juga; fikir itu adalah pelita. Walau sekuat mana pun kita tetap adalagi orang yang lebih kuat.

Keberanian Bugis penuh kompromi dalam tindakan dan amat malang bagi yang menuduh Bugis adalah lanun kerana mana mungkin bangsa yang terdidik dengan agama Islam yang menyakini keEsaan Allah SWT untuk membuat kerja-kerja bacul. Rahsianya; ialah lanun sendiri kecundang dalam cubaan-cubaan untuk menyerang kapal dagangan Bugis.

Namun Bugis tidak sebegitu mudah untuk menamatkan nyawa lanun yang menyerang ini. Atas dasar kemanusiaan lanun-lanun ini dilepaskan dengan janji untuk tidak sesekali menyerang mana-mana kapal Bugis.

Memang menjadi kebiasaan penjahat yang kalah akan menunding jari kepada orang yang baik bagi melindungi keburukan mereka. Lanun-lanun inilah sememangnya petualang dan menjadi penunjuk arah pemberi jalan kepada bangsa penjajah yang datang ke rantau nusantara untuk tujuan mereka.

Datuk juga menyatakan bahawa kapal Bugis sering berulang-alik ke tanah suci Mekah dan membawa Bugis yang akan mengerjakan haji. Perjalanan laut yang jauh dan memakan masa berbulan-bulan dengan laut berangin, tenang diselangi ribut, badai dan gelora di samudera adalah mainan harian, kerja harian selain menangkap ikan untuk makan, mereka juga melakukan latihan persilatan di atas kapal, dalam ruang yang terhad dan disebelah petang membaiki alatan memancing, dan malam pula mereka akan beribadat, bertadarus, berzanji serta ‘menadah kitab’ mempelajari ilmu agama. Bergilir-gilir berjaga malam sepanjang menempuh gelora dan keselamatan dalam perjalanan.

Pe-el perangai orang Bugis ini dibentuk melalui kerjasama dalam melakukan pekerjaan dan perkongsian makanan selama berada di atas kapal menuju destinasi. Berpandu arah tuju dengan melihat bintang di langit serta keilmuan maritim yang mereka ada. Antara kehebatan orang Bugis ialah berzikir senyap tanpa didengari seiring dengan pekerjaan yang sedang dibuat. Bangsa Bugis mengharungi lautan dengan pengalaman dan cabaran merupakan pendidikan amali yang sebenar-benarnya.

Didikan adab Bugis telahpun disemai seawal usia, mengaji, solat berjemaah, bersilat dan anak-anak Bugis terdedah dengan kerja-kerja berat di kampung dan bergotong-royong. Semua ini akan membentuk sahsiah Bugis. Apabila meningkat remaja mereka akan diminta untuk segera ke tanah suci dan menunaikan haji pada usia muda dengan menaiki kapal dan disinilah ilmu untuk menjadikan seorang Bugis bangsa yang mempunyai ‘empat tapang’.

Makanya; apabila seorang Bugis bertegas dan tetaplah mereka akan perbuat. Bukanlah seorang itu Bugis jika hanya sekadar sembang sahaja. Dan diam Bugis itu umpama ubi, makin lama makin berisi. Bagi Bugis, lautan dalam sememangnya diduga kerana kailnya bukan sejengkal.

Saturday, September 15, 2012

MEMPEROLEHI 100 MARKAH BAGI SETIAP SUBJEK DALAM PEPERIKSAAN



Kehebatan anak-anak Bugis di dalam menuntut ilmu dapat dilihat dengan pencapaian keputusan bagi setiap peperiksaan awam. Jika diusuli, anak-anak Bugis sering mendapat straight A di dalam peperiksaan, apakah yang menjadikan mereka ini hebat? Sebenarnya bukan itu matlamat mereka tetapi itulah yang kelihatan terjadi.

Sebut sahaja dimana-mana universiti di Malaysia dan nusantara ini, kedapatan anak-anak Bugis yang menjadi pensyarah.

Anak-anak Bugis tekun dalam mentelaah dan sasaran untuk mendapat straight A hanya muncul kepada keputusan. Ini adalah kerana apa yang diusahakan seupaya mungkin ialah untuk mendapat 100% markah.

Dengan jadual hidup yang teratur dan anak-anak Bugis sememangnya terdidik untuk menghormati guru dan menepati masa. Mungkin beranggapan anak-anak Bugis sering dianggap skema tetapi merekalah yang telah menaikkan nama sekolah dengan menjadi wakil di bidang kokurikulum.

Dan supaya anak-anak Bugis yang lain tidak leka, dan terus mewarisi tradisi ilmu; suka saya ingatkan sekali lagi perkara yang pernah saya perturunkan kepada anak-anak saya pewaris Bugis.

1. Jadikan suatu cogankata yang bertulis “Saya ingin mencapai 100% markah dalam setiap peperiksaan".

2. Bayangkan betapa gembiranya ibubapa bila anda mencapai kejayaan straight A, anda melompat kegembiraan, mengucap tahniah sesama rakan anda, dan anda dapat masuk ke sekolah terbaik idaman anda, natijahnya anda dapat menjejaki menara gading; Universiti dan menerima segulung Ijazah.

3. Segera bertindak dan sentiasa membuat ulangkaji secara sistematik dan bersungguh-sungguh sehingga 10 kali lebih daripada orang lain.

4. Kebolehan memperbaiki kelemahan diri melalui analisa kekuatan dan kelemahan subjek serta topik yang berkenaan berdasarkan keputusan yang diperolehi serta bertindak melakukan penambahbaikan. Markah adalah pengukur keupayaan. Faham adalah resepi kejayaan.

5. Bagi subjek yang keputusan belum memuaskan, pelajar perlu memberi lebih tumpuan pada subjek berkenaan tanpa mengurangi tumpuan subjek yang dan menukar sedikit pendekatan anda.

6. Anak-anak Bugis mempunyai peribadi luhur dan sentiasa menjaga hubungan baik dengan semua guru, sentiasa mencari jawapan dan kefahaman pada soalan-soalan yang dirasakan kurang jelas untuk menjawabnya dengan merujuk pada nota-nota dan bertanya kepada guru.

7. Anak-anak Bugis sering menjadi guru muda di dalam kelas dan tempat rujuk rakan sebaya dan mereka juga pendorong kepada rakan-rakan mereka untuk turut berjaya.

Semoga panduan ini dapat membantu kita menjadikan impian suatu kenyataan iaitu kejayaan kita bersama.

Pensyarah saya pernah berkata; "Kamu semua tidak akan mendapat 100 markah bagi kertas saya tetapi berusahalah ke arah itu kerana hakikat ganjaran atas usaha kamu ialah 1,000 (seribu) markah."

Ingat hidup ini hanyalah sementara. Tingkatkan ilmu, indahkan perilaku, agar Bugis terus menjadi bangsa yang dihormati dan digeruni kerana kita bangsa yang mempunyai budi pekerti dengan pencapaian gemilang di semua bidang.

Wasiat Raja-Raja Melayu



Sebanyak 7 Wasiat Raja-Raja Melayu daripada sembilan Raja Melayu itu terdiri dari empat Negeri Melayu Bersekutu dan lima Negeri Melayu Tidak Bersekutu, disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu. Yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.

1. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

5. Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;

6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;

7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).[1]

Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu.

Raja Nazrin Shah telah merujuk kepada :

* Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5)
* Perkara 11
* Perkara 12
* Perkara 38 (5)
* Perkara 152
* Perkara 153
* Perkara 181 (1).

Fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.


Friday, September 14, 2012

PANTANG-LARANG DALAM MASYARAKAT BUGIS

Pemmali merupakan istilah pantang-larang dalam masyarakat Bugis yang digunakan untuk menyatakan pantang-larang kepada seseorang yang melakukan dan mengatakan sesuatu yang tidak sesuai.

Pantang-larang sering menjadi pegangan leluhur masyarakat Bugis sebagai gelangan pendidikan tidak formal untuk membentuk budi pekerti.

Sebenarnya kata-kata Pemmali / Pantang-larang, berasal dari bahasa Arab yaitu Fiil Madi. Fiil Madi dalam bahasa Arab diertikan perbuatan/Sesuatu yang telah terjadi di masa lampau. Oleh karena itu Pantang-larang dapat diinterpretasikan perbuatan/perkataan yang telah dilakukan oleh orang tua dulu yang mendatangkan kesan sehingga terjadinya sesuatu secara kebetulan atau disengaja.

Pantang-larang dalam masyarakat Bugis dapat dilihat dalam dua elemen, iaitu pantang-larang dalam bentuk perkataan dan pantang-larang dalam bentuk perbuatan untuk sama-sama direnungi dan dinilai semula agar kita generasi baru tidak terpesong dengan akidah Islam.

Beberapa contoh pantang-larang dan maknanya.



(1) Pantang bagi seorang gadis menyanyi di dapur apabila sedang memasak atau menyiapkan makanan.

Masyarakat Bugis menjadikan pantang menyanyi pada saat sedang memasak. Akibat daripada ketidakpatuhan ini dikatakan bahawa mereka akan mendapat suami yang tua. Namun demikian dari segi ilmiah tidak terdapat hubungan antara menyanyi di dapur dengan mendapat jodoh. Kerana Jodoh itu di tentukan oleh Allah SWT. Namun demikian, pantang-larang di atas sebenarnya memiliki hubungan dengan masalah kebersihan dan kesihatan. Menyanyi di dapur dapat mengakibatkan keluarnya tampias ludah daripada mulut yang kemudian terpercik ke makanan.

(2) Gadis tidak boleh tidur sampai tengah hari sebab rezeki tidak menyinggah di rumah.

Selain itu leluhur kita mengatakan mereka yang lambat bangun akan mendapat jodoh yang lambat. Sebenarnya seorang gadis tidak baik bangun tengahari kerana ia merupakan cerminan daripada sikap malas dan boleh membantutkan kerja di dalam rumah. Hal ini perlu diperhatikan kerana masyarakat Bugis menganggap bahawa perempuan adalah pemegang kunci kepada pendidikan anak-anak dan urusan dalam rumah. JIka dikaitkan dengan lambat terima jodoh kerana lelaki tidak akan mahu berkahwin dengan wanita yang lambat bangun sebab khuatir mereka akan mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri dlam rumahtangga. Dari segi kesihatan pula lambat bangun akan menyebabkan badan menjadi lemah.

(3) Pantang orang tidur pagi jika jenazah jiran kita belum diusung ke tanah perkuburan.

Masyarakat Bugis dilarang tidur pagi sekiranya terdapat jiran yang meninggal dunia. Sebenarnya falsafah daripada larangan ini adalah sebagai satu simbol menghormati jenazah dan sebagai satu cara kita turut bersimpati dengan jiran. Pantang-larang ini menggambarkan betapa tingginya penghargaan masyarakat Bugis terhadap sesama manusia.

(4) Pantang bertongkat dagu sebab akan membawa sial.


Bertongkat dagu dikatakan akan membawa sial. Namun demikian makna falsafah daripada larangan ini adalah menunjukkan sikap seseorang yang pemalas. Perilaku bertongkat daku seolah-olah sesorang itu hanya berangan-angan tetapi tidak ada melakukan tindakan. Perilaku ini tidak ada hasil yang boleh didapatkan karena tidak ada pekerjaan yang dilakukan. Mereka biasanya hanya hidup menderita. Oleh itu perbuatan ini dianggap sial kerana tidak mampu melakukan pekerjaan yang mendatangkan hasil untuk memenuhi keperluan hidupnya

(5) Pantang-larang anak-anak berbaring bertiarap sebab menyumpah ibunya mati cepat.

Bagi kanak-kanak yang suka bertiarap mereka pastinya akan ditegur kerana dikatakan ingin menyumpah ibunya agar mati cepat. Sebenarnya ancaman ini mencerminkan bahawa masyarakat Bugis sangat menghormati orangtuanya sehingga larangan itu dikaitkan dengan kematian ibu. Jika kita lihat dari sudut kesihatan berbaring tiarap boleh mengakibatkan sakit di dada atau sakit perut. Pantang-larang ini berfungsi mendidik anak untuk menjadi orang memegang teguh etika, memahami sopan santun, dan menjaga budaya leluhur. Anak merupakan generasi yang harus dididik agar membesar menjadi insan berguna dan tidak memalukan keluarga.

(6) Pantang-larang bagi remaja lelaki menggunakan penutup/tudung sebagai alat makan sebab ia akan dijadikan penutup malu.

Lelaki yang menggunakan penutup benda tertentu seperti tudung periuk sebagai alat makan mengantikan piring dikatakan akan menjadi orang yang menjadi kambinghitam terhadap sesuatu masalah yang memalukan. Contoh menjadi kambing hitam penutup malu dengan menikahi gadis yang hamil di luar nikah akibat perbuatan orang lain. Meskipun bukan dia yang menghamilkan, namun dia yang ditunjuk untuk mengawini atau bertanggungjawab. Sebenarnya ancaman itu disebabkan menggunakan penutup sebagai alat makan tidak sesuai dengan adat etika ketika makan. Penutup bukan alat makan. Orang yang makan dengan penutup merupakan orang yang tidak tahu etika dan adab sopan santun semasa makan.

(7) Pantang-larang meninggalkan makanan atau minuman yang sudah dihidangkan karena biasa terkena bencana.

Pantang-larang ini memuat ajaran untuk tidak meninggalkan makanan atau minuman yang telah dihidangkan. Meninggalkan makanan atau minuman yang sengaja dibuatkan tanpa menmakannya adalah pembaziran. Makanan bagi masyarakat Bugis merupakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT. Orang yang meninggalkan makanan atau minuman tanpa merasanya merupakan wujud penolakan terhadap rezeki. Selain itu, menikmati makanan atau minuman yang dihidangkan tuan rumah merupakan bentuk penghoramatan seorang tamu terhadap tuan rumah. Sekiranya makanan dan minuman yang dihidangkan tidak dijamu atau dirasa maka ia boleh menyinggung pihak tuan rumah.

Seharusnya kita generasi baru yang diberikan ilmu harus mencari makna falsafah disebalik larangan yang diwarisi oleh leluhur kita serta menerangkan larangan itu kepada masyarakat secara hikmah . Kita jangan terus melatah dan mengata bahawa larangan tersebut tidak sesuai sebaliknya kita juga jangan terlalu mengikut secara membuta tuli. Marilah kita sama-sama menjaga budaya bangsa bangsa kita selagi ianya tidak bertentangan dengan agama.

Sunday, September 2, 2012

Kalam anjur Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis

Dipetik dari Utusan Online


Wakil Indonesia, Narwin Annas (tiga dari kiri) melihat pameran kapal bugis bersama Dr. Ahmad Nazri Muhammad Ludin (dua kiri) di Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 13 Dis 2011 - Biarpun Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terkenal dengan aktiviti berbentuk mekanikal dan teknologi, ia sedikit pun tidak meminggirkan kajian lain mengenai sejarah dan adat budaya.

Ini terbukti dengan penganjuran Konvensyen Antarabangsa Diaspora Bugis oleh Pusat Kajian Alam Melayu (Kalam) di pusat pengajian tinggi itu baru-baru ini.

Sebanyak 24 kertas kerja dibentangkan sepanjang tiga hari program yang melibatkan 150 peserta terdiri daripada penuntut, ilmuan dan pakar sejarah.

Pengarahnya, Dr. Raja Nafidah Raja Shahminan berkata, konvensyen yang pertama kali diadakan itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu sejarah, kebudayaan dan senibina.

"Kita membincangkan persoalan tentang etnik Bugis supaya sejarah, budaya dan senibina dapat dikongsi bersama dan tidak kekal sebagai hikayat serta cerita sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Dekan Fakulti Alam Bina, Prof. Madya Dr. Ahmad Nazri Muhammad Ludin.

Menurutnya, sebelum ini Kalam telah membuat kajian mengenai senibina rumah masyarakat Bugis di Makasar, Sulawesi untuk dibandingkan dengan rumah Bugis yang terdapat di Pontian.

Menerusi kajian itu mereka melukis semula reka bentuk 30 buah rumah Bugis yang terdapat di Makasar dengan kerjasama Universiti Hasanuddin sejak dua tahun lalu.

"Hasil kajian mendapati hanya tiga buah rumah Bugis di daerah Pontian yang mirip dengan rumah Bugis yang terdapat di Sulawesi dan selebihnya berbentuk rumah Limas," katanya.

Menu warisan Bugis

Dipetik dari Kosmo Online


SHAHRIM (kanan) bersama Indok Chichuk (tengah) dan pelajarnya, Nor Syahidah ketika sesi previu masakan Bugis di UPM baru-baru ini.

KEISTIMEWAAN dan keunikan yang terdapat dalam makanan Bugis mendorong seorang pensyarah dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melakukan kajian khusus mengenainya.

Malah, biarpun bukan daripada keturunan Bugis, Prof. Madya Shahrim Ab. Karim mengambil inisiatif menulis sebuah buku masakan bertajuk Sajian Eksotik Warisan Bugis bagi memastikan keunikan kulinari Bugis terus terpelihara.

Menurut Shahrim, untuk mempelajari seni memasak makanan itu dengan lebih teliti, beliau telah tinggal bersama sebuah keluarga Bugis di Kampung Sungai Kuali, Pontian, Johor selama dua minggu.

“Individu yang banyak membantu saya dalam memahami dan mempelajari bagaimana sesuatu hidangan disediakan ialah Indok Chichuk Daeng Hadadek atau mesra dipanggil ibu. Wanita berusia 66 tahun itu tidak lokek berkongsi rahsia masakan,” jelas Shahrim sewaktu majlis mempromosikan sajian Bugis di UPM baru-baru ini.

Tambah anak kelahiran Tengkera, Melaka itu, masakan Bugis sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri. Namun, ia jarang ditemui di restoran dan kurang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini.


NASU likkuk iaitu menu dada ayam yang dimasak bersama lengkuas.

“Keistimewaan masakan ini terletak pada bahan-bahan yang digunakan, cara penyediaan dan nama makanannya yang unik. Gohu, tumpi-tumpi, nasi ulam, urang nasu gore kaluku, nasu likkuk, barongko, sorbet dan bubuk delima Bugis antara menu yang terdapat dalam buku saya ini.

“Saya mengambil masa selama satu tahun setengah untuk menyiapkan buku ini dengan dibantu oleh pelajar saya, Nor Syahidah Ismail,” ujarnya.

Buku tersebut boleh didapati di semua pengedar kedai buku terkenal pada harga RM26.00 dan mengandungi lebih 60 sajian masakan Bugis serta mempunyai lima bahagian iaitu pembuka selera, istimewa, lauk-pauk, pencuci mulut dan kuih-muih.

Buku tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim pada 28 April lalu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Masak juadah lapan jam

Dipetik dari Kosmo Online



MALAYSIA memang kaya dengan kepelbagaian budaya masyarakatnya yang berbilang kaum. Lantaran itu, tidak hairanlah, ramai pelancong malah rakyat tempatan sendiri yang menyifatkan negara kita ini sebagai syurga makan.

Jika ada yang berhajat menikmati keunikan masakan tradisi, Barat, oriental atau Mediterranean, baik yang masih mengekalkan cita rasa asli mahupun telah diubah mengikut rencah rasa tempatan, semuanya boleh didapati di Malaysia.

Antara yang menjadi kegemaran ramai dan dikenali umum ialah roti canai, nasi lemak, nasi kandar, nasi dagang, nasi kerabu dan pelbagai jenis kuih-muih tradisional.

Namun, jika disebut beberapa nama hidangan warisan etnik Bugis seperti burasak, lepat lueh, nasu metti dan bejabok, pastinya ramai yang terpinga-terpinga, malahan ada tidak pernah mendengar dan menikmatinya.

Lain pula keadaannya di pekan Benut yang terletak di daerah Pontian, Johor. Di sini, majoriti masyarakatnya berketurunan Bugis yang berasal daripada Kepulauan Sulawesi, Indonesia.

"Burasak bukanlah makanan yang pelik di sini malah ia boleh dibeli di pasar minggu.

Bagi seorang peniaga burasak yang mahu dikenali sebagai Remeng, 50-an, setiap kali minggu akhir Ramadan, dia dan keluarganya tidak menang tangan menerima tempahan daripada penduduk tempatan, malah ada yang juga peminat burasak yang sanggup datang dari Johor Bahru dan Singapura menempah burasak dengannya.

"Setiap minggu saya menjual burasak di pekan Tampok. Pada bulan puasa pula, saya menjualnya pada setiap petang.

"Seminggu sebelum raya, perniagaan menjadi semakin sibuk kerana ramai pelanggan yang menempah burasak untuk dijadikan hidangan di pagi Syawal," katanya yang mengusahakan perniagaan tersebut sambil dibantu isteri dan anak-anaknya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha burasak di Benut, Bachok Ambok Lelang, 63, memberitahu, rupa burasak seakan-akan ketupat nasi yang dicampur dengan sedikit santan. Bentuknya pula leper seakan lepat pisang namun lebih tebal dan saiznya sedikit besar dan lebar.

"Kalau ramuannya seperti memasak nasi lemak, cuma tidak perlu ditambah bawang, halia ataupun serai hanya beras wangi, santan dan sedikit garam.

"Memasak burasak tidaklah rumit tetapi mengambil masa yang cukup lama. Mana tidaknya, ia perlu direbus antara tujuh hingga lapan jam untuk menghasilkan burasak yang teksturnya lembut dan tahan lebih lama," ujar Bachok ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.

Burasak yang rasanya sedikit lemak enak dimakan panas-panas bersama nasu metti atau asam pedas ikan parang.


SEBONGKAH burasak biasanya mempunyai lima atau 10 keping burasak yang dibungkus secara berasingan.

"Tradisinya, orang Bugis akan makan burasak dengan ikan parang, sama ada yang dimasak asam pedas ataupun masak kicap," katanya.

Selain burasak, satu lagi makanan tradisional masyarakat Bugis yang biasa dihidang ketika musim perayaan ialah lepat lueh.

Seperkara yang unik tentang makanan ini, ia sejenis hidangan berasaskan pulut yang berbentuk tiga segi seperti atap rumah.

"Memasak pulut lueh sama seperti burasak. Pulut perlu ditanak separuh masak dan kemudiannya disejukkan sebelum dibungkus menggunakan acuan berbentuk tiga segi. Ia juga perlu direbus selama lapan jam.

"Jika burasak enak dimakan dengan asam pedas ikan parang, lepat lueh pula sedap dijamah dengan nasu likkuk atau rendang ayam lengkuas.

"Bagi yang tidak biasa memasak, tempoh merebus yang cukup lama memang jadi satu cabaran kerana api dan air perlu sentiasa dipantau, apatah lagi jika memasak menggunakan dapur kayu.

"Namun, hasilnya memang memuaskan. Burasak dan lepat lueh boleh bertahan sehingga seminggu tanpa perlu disimpan di dalam peti ais.

"Begitupun, ada petuanya. Pulut atau nasi yang telah ditanak perlu disejukkan kira-kira sejam atau dua jam sebelum dibungkus bagi mengelakkan ia daripada cepat basi," ujar Bachok.

Jelasnya lagi, memandangkan kedua-dua juadah ini boleh bertahan lama, ia biasanya dimasak dua hari sebelum raya bagi mengelakkan kesibukan di dapur menjelang malam raya.

Daun pisang nipah


Jangan tidak tahu, bukan sebarang daun pisang boleh digunakan untuk membungkus burasak dan lepat lueh.

"Hanya daun pisang nipah sahaja yang boleh digunakan untuk membungkus burasak dan lepat lueh. Bukan tidak boleh guna daun pisang lain tetapi dikhuatiri pulut atau nasi akan menjadi pahit.

"Daun pisang pula harus dipilih di bahagian pucuknya atau paling muda. Daun pisang yang tua tidak boleh digunakan kerana keras dan mudah koyak," ujarnya.

Menurut sejarahnya, makanan tahan lama yang berasal dari Kepulauan Sulawesi ini sering menjadi pilihan pedagang Bugis sebagai bekalan pelayaran.

Meninjau cara memasak hidangan wajib bagi masyarakat Bugis ini, apa yang boleh disimpulkan, hampir ke semua juadah utamanya mengambil masa yang lama untuk dimasak!


BURASAK yang direbus lapan jam boleh bertahan sehingga seminggu.

Menurut pakar masakan warisan daripada Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Shahrim Karim, juadah raya masyarakat Bugis memang unik berbanding masakan masyrakat lain.

"Jika masyarakat Melayu, Minang mahupun Jawa banyak menggunakan ayam, daging lembu ataupun daging kerbau dalam masakan, lain pula halnya dengan masyarakat Bugis.

"Selain ayam, mereka turut menggunakan hasil laut dalam menu lebaran. Contoh paling mudah, masak asam pedas ikan parang dan bejabok atau serunding udang kering," katanya.

Jurnal yang diberi kesempatan melihat proses penyediaan burasak, nasu metti atau asam pedas ikan parang, nasu likkuk atau rendang ayam lengkuas dan bejabok atau serunding udang kering.

Sebagai pelengkap juadah manisan berasaskan telur dan pisang seperti baulu pecak yang rupanya seakan nekbak di Kelantan dan lepat pisang tanpa tepung atau barongko turut disediakan.

"Burasak perlu disediakan terlebih dahulu kerana ia memerlukan masa yang lama untuk direbus. Cara membuatnya mudah sahaja.

"Dengan menggunakan beras wangi yang ditanak separuh masak dengan santan dan sedikit garam untuk penambah lemak.

"Setelah nasi masak, ketepikan dan sejukkan lebih kurang dua jam. Selepas itu, ambil tiga sudu beras dan letakkan di atas pucuk daun pisang nipah yang telah dibersihkan. Ratakan nasi dalam bentuk empat segi tepat.

"Selepas siap lima bungkus, satukan burasak dan balut dengan daun pisang nipah tua yang telah dilayurkan.

"Bungkus sebanyak dua kali dan ikat kemas bongkah burasak dengan tali rafia. Sekarang, burasak siap untuk direbus," ujar Shahrim.

Belajar dua minggu

Menyediakan nasu likkuk atau rendang ayam lengkuas pula tidak banyak bezanya dengan rendang biasa cuma masakan ini menggunakan jumlah lengkuas yang banyak.

"Untuk seekor ayam yang beratnya 1.5 kilogram (kg), setengah kg lengkuas diperlukan.

"Selain lengkuas, bawang putih, bawang merah dan serai, masakan ini juga menggunakan cili api dan rempah-rempah seperti ketumbar, jintan putih dan jintan manis.


JUADAH nasu likkuk dimasak seperti rendang tetapi menggunakan lengkuas dalam jumlah yang banyak.

"Semua bahan perlu dikisar halus sebelum dimasak dengan sempurna kira-kira 45 minit.

"Selepas itu, barulah ayam dimasukkan. Apabila daging sudah kecut, masukkan pula santan pekat. Masak sehingga ayam lembut dan kuah mengering," jelas Shahrim.

Tambahnya, masakan nasu likkuk ini amat digemari oleh masyarakat Bugis mahupun masyarakat di Nusantara.

"Bagi yang pertama kali menikmatinya, jangan risau, saya jamin anda pasti akan menyukainya," ujarnya.

Biarpun bukan daripada keturunan Bugis, lelaki ini mengambil inisiatif menulis sebuah buku masakan bertajuk Sajian Eksotik Warisan Bugis bagi memastikan keunikan kulinari Bugis terus terpelihara.

"Masakan Bugis mempunyai keunikan yang tersendiri namun ia jarang ditemui di restoran dan kurang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Bagi saya, keistimewaan masakannya terletak pada bahan-bahan yang digunakan, cara penyediaan dan namanya yang unik.

"Rasanya juga enak dan boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat," katanya.